Saturday, January 23, 2010

Cinta itu sekali berputik, selamanya ada ...






Penulis terjumpa artikel ini dari blogspot Ustaz Erfino ..ianya mungkin boleh kita kongsikan bersama..mudah-mudahan ada manfaatnya..


Sesungguhnya cinta itu, sekali ia hadir dihati, ia tidak akan hilang. Pelbagai perumpaan diberikan untuk suami isteri..Dalam pelbagai bentuk perumpamaan yang boleh diutarakan, Quran mengajukan konsep pakaian. Mengapa? Ini kerana pertamanya, pakaian adalah keperluan asas setiap manusia yang beriman dan waras akal fikirannya. It's everybody's nature. Manusia memerlukan pakaian.


Oleh itu, dalam melangkah ke alam perkahwinan, suami perlu menginsafi bahawa dia memerlukan isterinya, sama sepertimana ia memerlukan pakaian. Isteri turut merasakan bahawa ke mana sahaja ia pergi, pakaiannya itu adalah suaminya, maruahnya, harga diri dan imejnya. Yakinilah bahawa ianya merupakan pakaian yang termahal. Saiz, potongan, jenis kain dan fesyennya adalah ungkapan ' aku terima nikah' dan 'saya setuju menjadi isterinya'. Kita tidak akan merosakkan pakaian mahal yang kita miliki. Kita tidak akan menghantar pakaian itu ke laundrette, atau dibasuh dengan sebarang cara. Malah kita mempunyai cara tersendiri dalam melipat atau menggantung pakaian tersebut. Kita berbangga dengan pakaian itu, ianya dekat dan bersentuh dengan kulit kita, dan ianya kita pakai, jaga dan pelihara dan disimpan. Lebih lama ianya berada di wardrobe kita, lebih sayang dan terikat hati kita padanya. Walau mungkin saiz badan berubah, dan pakaian itu sudah tidak padan untuk dipakai dan digayakan, ianya tetap merupakan pakaian kesayangan kita. Sayang pada ketika itu, tidak lagi ditunjukkan dengan memakainya, ia dibuktikan dengan menjaga dan menyimpannya.



Keduanya, al Quran mengumpamakan suami isteri sebagai pakaian kerana fungsi pakaian tersebut. Kita memakai pakaian atas tuntutan Ilahi untuk menutup keaiban tubuh badan. Bahagian yang kita tidak relakan atau mahukan orang yang tidak berhak melihatnya ditutup dengan pakaian yang bermaruah. Hatta jika mata itu lebam atau merah, kita menutupnya dengan pakaian tambahan seperti kaca mata hitam. Jika ada kecederaan dan luka pada lengan atau mana-mana bahagian badan, kita akan berusaha untuk menutupinya dengan pakaian atau aksesori tambahan. Begitulah seharusnya suami isteri. Sebagai pakaian, suami perlu berperanan untuk menutup keaiban isterinya, memelihara kekurangan isterinya, tidak dijaja dan dicanang keburukannya dan sentiasa ditinggikan nama baiknya dan dipertahankan kehormatannya. Isteri juga begitu, berusaha untuk menjadi pakaian kepada suami, dalam menutup kekurangan dan keaibannya, dipelihara maruahnya, dan dipelihara air mukanya. Jika ini ada, kita tidak nampak ada ruang untuk salah menyalah lebih dari kadarnya, pertengkaran hebat yang mengungkit kelemahan masing-masing, perlumbaan untuk memperlihatkan pasangannya adalah jauh lebih teruk daripadanya, dan sebagainya.


Ketiga, pakaian itu adalah fesyen dan fesyen adalah pakaian. Tujuan berfesyen adalah untuk menaikkan lagi seri dan imej seseorang. Seseorang yang kurang dari sudut ketinggian atau rupa paras, terlalu banyak pilihan yang diberikan oleh pereka fesyen untuk menaikkan lagi imej orang tersebut. Penggunaan jenis tekstil, warna, corak dan sebagainya pada sebarang pakaian, mampu untuk menyerlahkan keterampilan seseorang atau pemakainya. Warna ini untuk warna kulit yang sebegini, corak ini sesuai untuk orang yang sebegini, begitulah seterusnya. Kerana itu, suami dan isteri berperanan untuk menjadi penyeri atau 'pereka fesyen' kepada pasangannya. Ia tidak sekadar keperluan agar suami dan isteri berada disisi seperti perlunya manusia pada pakaian, ia bukan cukup dengan sesuatu pakaian itu dipakai kerana tema tertentu atau sekadar menutup kekurangan dan keaiban, pakaian itu bertujuan untuk memperhebat dan memperindahkan pasangan, complementing each other. Isteri berasa bertanggungjawab dalam pemilihan pakaian yang membawa bersamanya air muka suami, suami bertanggungjawab memilih pakaian yang menyantun puji dan melestarikan kedudukan isteri.


Sesungguhnya Allah itu indah, dan Dia amat sukakan keindahan dan kecantikan. Pakaian itu adalah sahabat manusia, sahabat kepada suami dan sahabat kepada isteri, dikala senang dan susah, kaya atau miskin. Indahkanlah pasangan dengan cinta, kerana apabila keretakan dan perceraian berlaku, ia bukan kerana hilangnya cinta, tetapi ia adalah kerana hilangnya persahabatan dengan 'pakaian' kita. Cinta itu sekali berputik, selamanya ada. Sekadar perkongsian..wallahualam..

0 comments:

Post a Comment